Rabu disyor Hari Membaca untuk warga ATM

Posted 11:22 PM by WC in

KUALA LUMPUR 23 Jun - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal mengesyorkan hari Rabu pada setiap minggu sebagai 'Hari Membaca' kepada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, langkah itu boleh meningkatkan kecemerlangan pembelajaran dalam kalangan anak-anak pegawai dan anggota ATM.

''Apabila ada budaya sikap membaca ini, semangat itu boleh diterapkan dalam kalangan anak-anak kita.

''Secara tidak langsung, ia boleh membawa budaya yang sihat bagi seluruh keluarga ATM,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik ATM Ke-19 di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Abdul Aziz menambah, pegawai dan anggota ATM yang sudah mengamalkan budaya membaca sejak dahulu lagi boleh meneruskan aktiviti tersebut.

''Mereka yang rajin membaca buku pada setiap hari boleh mendapat empat kali ganda lagi ilmu daripada mereka yang langsung tidak membaca,'' ujarnya.

Pada majlis anugerah tersebut, seramai 270 anak-anak pegawai dan anggota ATM sekitar Lembah Klang menerima pengiktirafan hasil kejayaan mereka di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2008.

Daripada jumlah tersebut, 86 pelajar SPM menerima RM1,000 setiap seorang, manakala 184 pelajar PMR mendapat RM500.

Mereka adalah merupakan sebahagian daripada 571 anak pegawai dan anggota ATM di seluruh negara yang menerima anugerah kecemerlangan akademik.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, sebanyak RM500,000 peruntukan daripada Lembaga Tabung ATM telah disediakan kepada anak-anak anggota yang cemerlang pada kali ini.

''Ini merupakan pengiktirafan daripada ATM kepada ibu bapa yang bersusah payah mendidik anak-anak mereka untuk berjaya,'' katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan bekas Menteri Pertahanan sebelum ini.

''Ilham pemberian kecemerlangan akademik ini sebenarnya datang daripada beliau (Najib) dan saya mengucapkan syukur kerana ideanya memberi banyak manfaat kepada warga ATM sehingga hari ini,'' jelasnya.



0 comment(s) to... “Rabu disyor Hari Membaca untuk warga ATM”